Friday, December 14, 2012

Besarnya nilai RM3.32

Berpeluang menjejakkan kaki ke Pulau Bali November yang lalu menambah pengalaman dan pemandangan baru dalam hidupku. Benar, jauh perjalanan luas pemandangan. Bali memang sebuah pulau yang indah. Melihat terbenamnya matahari di Pantai Jimbaran membuatkan hati terasa sayu..Indahnya ciptaan Allah...Walau dimana kita berada, walau di bumi mana kita berpijak, kejadian Tuhan tetap sama...Naik turunnya matahari, keindahannya tetap sama. Subhanallah..terima kasih Allah kerana memberi hambaMu ini peluang untuk menikmati semua ini bersama-sama keluarga tercinta.

Sepanjang percutian, memang tidak dinafikan aku dan keluarga gembira kerana berpeluang menghabiskan masa bersama-sama. Namun di hari terakhir di Pulau Bali, Allah telah memberi suatu pengalaman yang tidak dapat aku beli di mana-mana.

Setiba di lapangan terbang, aku dan keluarga bergegas mencari musollah.  Menurut petugas di situ, kami harus ke bahagian domestik kerana itu yang paling hampir.  Semasa aku dan anak perempuanku masuk ke musollah itu, ada seorang makcik (penduduk tempatan) yang sedang makan biskut. Selesai solat, aku teringat duit baki rupiah yang masih ada di dalam poketku. Ada IDR10,000 sahaja yang tinggal.  Terus aku salam makcik tersebut dan memberinya wang tersebut. Makcik itu kehairanan."Saya dah nak pulang ke Malaysia, saya tak perlukan duit ini lagi". Makcik itu terus menyalami tanganku dan mencium tanganku."Terima kasih nak..banyak uangnya ini."Aku terkejut dengan tindakan makcik itu mencium tanganku sebagai tanda terima kasih. Aku segera menarik tangan ku kerana tidak sampai hati membiarkan tanganku dicium oleh insan yang usianya mungkin sebaya dengan ibuku.  Aku terus memeluknya dengan rasa sebak.Aku keluar dari musollah tersebut dengan perasaan yang bercampur baur. IDR10,000 kalau ditukar kepada matawang Malaysia nilainya baru RM3.32. Kalau di Malaysia, duit sebanyak itu apa sangatlah yang boleh dibeli. Sebak mengenangkan duit sebanyak itu membawa erti yang begitu besar pada makcik itu.

Sehinggga ke saat ini aku masih terbayang-bayang wajah dan kata-kata makcik itu. sesungguhnya ya Allah, aku tak akan dapat pengalaman dan pengajaran seperti ini dalam mana-mana buku di dunia ini.  Aku bersyukur kerana di kurniakan keluarga yang penuh dengan kasih sayang, rezeki yang murah, pekerjaan yang baik serta dikelilingi sahabat-sahabat yang baik. 

Ya Allah, kau murahkan rezeki makcik itu dan kuatkan semangatnya untuk meneruskan kehidupannya dengan penuh kesabaran dan keberkatan.




No comments: