Tuesday, October 7, 2008

Kasihmu harum subur di hati.... (Al-Fatihah buat bonda Zaharah Bt Hj Mat Isa)

Esok, 8 syawal.... Sudah 8 tahun juga aku menyambut Syawal tanpa ibu tersayang... arwah mak meninggalkan kami sekeluarga pada 20 Jun 2001. Bila Ramadhan menjelma, rindu pada masakan mak... nasi kerabu....tauhu sumbat.....pecal..ntah macam-macam lagi masakan wajib yang arwah sediakan sewaktu berbuka.... Tapi semuanya tinggal kenangan....




Pulang ke kampung minggu lepas, perasaanku tersentuh apabila aku melihat di dalam almari baju abah, dicelah-celah baju yang digantung, mata terpaku pada sehelai blouse merah jambu yang masih tergantung elok..... tanpa kusedar, air mata mengalir laju kerana itulah baju terakhir yang arwah mak pakai sewaktu dihospital Ipoh sebelum mak dijemput tuhan yang Esa......Ku peluk & ku cium baju mak...Ya Allah...rindunya aku pada emak.....Masih terbayang saat-saat akhir mak meninggalkan kami sekeluarga......


2 Jun 2001...

Mak demam-demam sebaik pulang dari kenduri di rumah Pak Yang, kenduri kahwin yeop.Aku bawa mak ke klinik..doktor kata demam biasa.... 3 hari kemudian demam mak beransur baik...


4 Jun 2001...

Hari jadiku yang ke 27 tahun. Mak mencium pipiku, " Happy birthday tu you.......semoga panjang umur & murah rezeki." Itulah birthdayku yang terakhir bersama-sama ibu tersayang...


8 Jun 2001...

Habis mengajar mak mengajak aku ke kedai pengantin di Salak-Intan Collection untuk memilih baju pengantin.... Aku akan melangsungkan perkahwinan pada 31 Ogos nanti.... Hari ini demam mak datang semula. Tapi semangat untuk memilih baju pengantin anak perempuannya ini menyebabkan mak lupa keadaan dirinya. Mak begitu teruja menyuruh aku mencuba semua pakaian yang ada.. dari baju songket biru, evening dress, baju ala-ala british zaman dahulu & apa sahaja yang ada emak suruh aku mencubanya.... Lepas satu..satu aku mencubanya.. Wajah mak nampak ceria melihat anaknya dalam pakaian pengantin.... (Rupanya mak tak dapat melihat aku memakainya pada hari sebenar..kalaulah kutahu....)Mak berkenan pada songket biru muda.... Itulah yang akan ku pakai pada hari perkahwinanku nanti...


9 Jun 2001...


Dalam demam yang masih tak kebah-kebah, mak masih larat mengikutku ke Sungai Siput untuk menempah langsir.... Kami ke rumah Kak Yah untuk memilih kain dan design untuk majlisku nanti... Dalam demam-demam, mak masih ceria.....


10 Jun 2001


"Happy Mother's Day, mak..." Kupeluk dan kucium pipi emak."Sorry tahun ni tak de hadiah...Kat Lenggong tak de barang yang menarik.. Nanti tahun depan, acik bagi double!" Mak tersenyum lantas menjawab,"Takpe..tahun depan, acik bagi double & tambah satu lagi hadiah dari Nuar. Banyaknya hadiah aku tahun depan..."Aku tersenyum tanpa kusedar itulah ucapanku yang terakhir buat mak dan tiada lagi hadiah Hari Ibu buat mak untuk tahun-tahun seterusnya....Kalaulah ku tahu.....


13 Jun 2001...

Masih ku ingat, pukul 4 pagi, hari Rabu, mak mengejutku....


"Acik..bangun acik...mak takut..mak mimpi.."


"Mak mimpi apa?"


"Mak mimpi mak mati..mak ada kat satu tempat ni, semua orang pakai kain kapan..panas kat tempat ni. Ada yang kain kapan dah terbakar, ada yang elok lagi...Mak pun pakai kain kapan tapi kain mak elok lagi..Mak nampak orang lari sana-sini...mak rasa takut sangat acik..Apa maksudnya?"


"Entahla mak....rasanya mesti Allah sayangkan kita semua, sebab tu Allah bagi mak mimpi macam tu....Allah nak kita sekeluarga berubah.....Alhamdulillah mak..bukan senang orang dapat mimpi macam mak..."


" Takutnya acik.... mak minta ampun dari semua anak-anak mak... mak ampunkan semua dosa-dosa anak-anak mak... mak nak minta ampun dari abah....."


"Acik pun minta ampun banyak-banyak mak...semua dosa-dosa acik..acik sayang mak...."

Tak kusangka itulah petunjuk yang Allah berikan.... kenapalah hatiku tidak terlintas langsung yang mak akan pergi meninggalkan aku buat selama-lamanya.


Selepas hari itu, mak terus demam & aku membawanya ke klinik lagi....doktor nasihatkan agar mak dihantar ke hospital....Hari Jumaat 15 jun 2001, aku meminta cuti dari pengetua kerana aku hendak membawa mak ke hospital pada hari isnin minggu depannya.


16 Jun 2001..

Mak semakin tidak larat.... hanya terbaring. Opah & atuk datang tidur dirumah....Dalam keadaan yang masih tidak sihat, mak masih sempat masak untuk opah & atuk..Rupanya itulah masakan terakhir mak buat kami semua.


18 Jun 2001...

"Adik, mana surat hang dapat masuk kolej ni... tak sampai-sampai lagi pun..."Adik bongsuku dapat offer untuk belajar di Kolej Islam Antarabangsa. Surat tawaran yang dinanti masih tak kunjung tiba....Petangnya, keadaan mak semakin lemah. Pak Yang yang datang dari Sungai Siput menyuruh kami membawa mak ke hospital..."Kalau aku pergi hospital, maknanya aku pergi mati..." Itulah ayat arwah mak bila disuruh ke hospital....Sabtu & Ahad, jiran-jiran datang melihat keadaan mak & mak sempat meminta maaf dari jiran2 yang ada... Alhamdulillah.....


Malamnya aku memujuk mak untuk ke hospital dengan janji aku akan menemani mak sepanjang di hospital. Pukul 9 malam aku, abah & Pak Yang membawa mak ke pusat kesihatan kecil Lenggong sebelum di hantar ke hospital Gerik. Sewaktu melihat mak terbaring di atas katil klinik tersebut hatiku terdetik,"Kenapa mak pucat semacam ni..macam mayat je.." Wajah mak amat pucat,kalau ditoreh pun tak berdarah..Namun hati masih tidak memikirkan sesuatu yang buruk.



Setiba di hospital Gerik, mak kelihatan takut kerana seingat aku mak hanya masuk hospital sewaktu melahirkan aku di Kuching, Sarawak.... Malam itu, aku menemani emak sampai ke pagi... Doktor memberitahu abah, mungkin mak demam denggi.... Sesekali mak tersedar, aku memberi mak minum air.. dalam keadaan sebegitu pun mak masih risaukan aku yang tak tidur2....


"Acik tidurla kat katil sebelah tu, nurse tak marahnya.."

"Takpe la mak..nanti acik nak tidur, acik pergila..mak tu yang kena tidur..."


"Acik, esok mak nak balik yek..."

"Okey kalau doktor kata ok, esok kita balik yek"


Pagi-pagi esoknya aku call nyah & along, suruh balik tengok mak, tanpa pengetahuan mak.....

19 Jun 2001..

Pagi, dihospital, aku memandikan mak, memimpinnya,memakaikan bajunya, menyikat rambut mak & menyuapkan kuih. Sekerat karipap, itulah makanan terakhir mak...


"Happy birthday Cuwan." Mak masih tidak lupa pada anak bongsu kesayangannya. Walaupun agak lemah.Hari jadi adik tidak seceria seperti tahun-tahun sebelumnya. Tiada upacara membuka hadiah, tiada acara makan-makan....Kesian adik....


Abah menyuruh aku balik untuk tunggu along & nyah. Dalam perjalanan balik, otak memikirkan apa yang aku nak masak untuk mak nanti."Masak asam pedas ikan pari lah...mak suka"Aku menumbuk cili kering kerana aku tau mak tak suka masak asam pedas kalau cilinya diblend. Pukul 12.30pm along & nyah sampai & sedang kami bersiap-siap untuk ke hospital, aku dapat panggilan dari abah mengatakan mak akan dihantar ke hospital Ipoh. Kami terus bergegas ke Ipoh.... Tiba di Ipoh, mak dimasukkan ke High Density Unit (HDU). Mungkin kerana denggi.. Petangnya, wajah mak ceria melihat semua anak-anak, menantu & cucu berkumpul. " Malam karang nak makan apa? Ada ke lauknya? Nak masak apa nanti?" Itulah emak...dalam sakit, tak lupa pada anak2.Petang, kami pulang ke Lenggong. Sebelum pulang, aku & abah ke Greentown Mall membeli lampin pakai buang & listrine & barang-barang yang disenaraikan oleh nurse untuk mak.Mengalir air mata sewaktu memilih barang-barang yang harus dibeli..Sebak dada memikirkan emak yang selama ini kuat kudratnya..kuat semangatnya...seorang ibu yang ceria kini terlantar di katil hospital...


Malam, abah & along bergilir-gilir menjaga mak...


20 Jun 2001...

Aku ke sekolah seperti biasa. Sebaik tiba, aku terus berjumpa dengan pengetua untuk meminta cuti kerana aku akan ke hospital. Aku bercadang untuk mengajar kelas 1A4 sebelum pulang. Semasa aku menulis di whiteboard, tiba-tiba telefon berdering. "Acik, mak dah tenat. Bawa semua ke hospital.Kita doakan yang terbaik untuk mak. Sabar ya nak...Bawa kereta elok-elok."Aku cuba untuk menghabiskan ayat yang terakhir di whiteboard tapi tanganku tak mampu lagi menulis ...Ya Allah.....


Aku terus keluar dari kelas, menuju ke bilik guru,mengemas apa yang patut. Pagi itu aku membawa motor ke sekolah agar mudah untuk aku pulang. Sepanjang perjalanan dari sekolah ke rumah yang hanya beberapa kilometer, aku tak sedar pedal minyak kupulas sehabis mungkin.. "Laillahaillallah... Ya Allah..kalau pun Kau ingin ambil ibuku, biarkan kami semua sempat menatapnya...Janganlan Kau ambil nyawanya sebelum aku tiba...Ya Allah.." Tak sedar, aku bercakap seorahg diri...Melalui tanah perkuburan, aku terfikir...mak akan dikebumikan di sini ke? Tak sanggup memikirkannya.


Tiba dirumah, nyah, cik man,cuwan, mama & anak2 saudaraku telah siap. 9 orang berhimpit di dalam kereta abah & aku membawanya.... Perjalanan terasa terlalu lama..... Masing2 diam sepanjang perjalanan....


Setiba dihospital kami bergegas ke HDU. Ku lihat air mata abah..."Pergilah tengok mak, mak tak sedar sebab doktor bagi ubat..." Melihat keadaan mak, aku terkedu..seperti melihat drama ER kesukaanku, tubuh mak dipenuhi wayar...di dada...di jari...mesin di tepi katil..... Semalam mak masih riang tersenyum, namun hari ini.......

Aku bertanya kepada nurse bertugas,"Kenapa dengan mak saya?"


"Mak cik kena jangkitan kuman di otak kerana demam terlalu lama. Kami bagi morfin sebab mak cik sakit sangat semalam..Dia sedar cuma terlalu lemah."

Aku mencari doktor yang ada," What we are suppose to do?"


"Sorry miss, there's nothing we can do..We have tried our best.She's too weak. Just pray for her".


Kutahan air mata dari mengalir...aku kena kuat...Seperti yang mak kata pada aku semasa di hospital Gerik malam semalam,aku adalah kekuatannya untuk masuk ke hospital..... Aku duduk di sisi emak..Aku bisik ditelinganya...

"Mak..acik tahu mak dengar..mak kena kuat..mak kena lawan sakit mak.. acik doakan mak cepat sembuh..kalau mak buka mata, kita balik..acik minta pada doktor untuk bawa mak balik.Mak kena kuat untuk abah, untuk anak-anak mak..untuk cucu-cucu mak.. Bukalah mata mak.....Mak kena sihat..mak kata nak tengok acik pakai songket biru masa kahwin nanti.Mak kata nak tengok cuwan masuk kolej..mak kena lawan sakit mak..Acik tahu mak kuat."

Hampir pukul 1.00pm atuk, opah tiba & jiran-jiran tiba dengan sebuah van. Tidak kira siapa yang datang, aku tidak berganjak dari sisi mak. Atuk mengajar kalimah shahadah ditelinga mak. Masuk kali ketiga....Tiba-tiba aku lihat air mata mak mengalir.....

"mak..mak boleh dengar ke..mak, acik tahu mak boleh dengar.Mak bukalah mata.....mak...bangun mak...kita balik ye...kita tak payah duduk hospital lagi ye...mak bukalah mata...Acik tahu mak dengar..."

Ku sapu air mata emak dengan harapan aku dapat melihat sinar matanya.... Tiba-tiba...mesin di sisi emak berbunyi.... Serentak dengan azan zohor dan masjid yang berhampiran...Nurse dan doktor berlari ke katil...Nurse yang bertugas menyuruh kami semua ke tepi dan menutup katil mak dengan birai yang ada...aku tidak berganjak walau disuruh berkali-kali oleh nurse. Aku terus ke sisi doktor..

"Doctor, I want to be with my mother...please..."

"Okay, only you..."

Aku melihat doktor memeriksa nadi mak, menggunakan kejutan elektrik di dada emak untuk menstabilkan denyutan jantungnya....Ya Allah....aku seperti menonton cerita di tv.Kemudian nurse menyuruhku ketepi..Ku tahu itu proses yang terakhir....

Doktor lelaki berbangsa cina mencatitkan sesuatu,kemudian menuju ke kaunter di wad tersebut. Kami hanya melihat dari jauh.

"Mana anak makcik tu tadi?" Aku melangkah menghampirinya."I'm so sorry..mak awak sudah meninggal dunia.Takziah". Handbag yang tergantung di bahu jatuh entah ke mana... Terduduk aku,abah & nyah di dalam wad tersebut... Tidak kuhirau mata yang memandang....walau pun aku telah mengetahuinya, walau aku sendiri melihat mesin itu berbunyi tapi......Ahhh....sukarnya menerima kenyataan yang mak telah kembali ke sisiNya.... Ya Allah.... berat sungguh ujian ini.... Tepat 1.35pm sewaktu azan zohor berkumandang, insan yang melahirkan dan membesarkan kami 4 beradik telah dijemput buat selama-lamanya...

Kusapu air mata yang mengalir, dengan penuh berhati-hati kucup dahi emak..ku cium pipi emak..Atuk mengkiamkan tangan arwah.... Hilang seorang lagi anak kesayangannya....


21 Jun 2001..


Arwah mak dikebumikan sebelum zohor......

Dan Cuwan.....

hancur luluh hatinya apabila emak pergi sehari selepas hari lahirnya yang ke-18 dan surat tawaran ke kolej yang dinanti-nanti oleh emak tiba pada hari pengkebumiannya.... Tabahkan hati dik....


Wahai anak-anak.....

Sentiasalah meminta ampun kepada kedua ibubapamu sementara masih sempat untuk kita berbuat demikian..Bayangkan apa yang akan berlaku pada hidup kita kalau kita hidup tanpa kemaafan dan keampunan dari ibu dan ayah tercinta? Berkatkah hidup kita sepanjang hayat? Bahagiakah diri kita sebelum Allah pula menjemput kita? Jangan malu untuk menyatakan kekesalan dan memohon keampunan pada kedua orang tua sementara mereka masih ada.


Wahai para ibu & bapa....


Adakala air mata mengalir juga mengenangkan sikap anak-anak yang dijaga dari tapak kaki sebesar dua jari...adakalanya terguris jua hati dengan kata-kata anak yang sedang meningkat dewasa... Tapi apalah salahnya seandainya sekali-sekala kita membisikkan kata-kata kemaafan dan keampunan di atas segala perbuatan dan perkataan mereka selama ini... Agar mereka tahu bahawa walaupun tindakan dan kata-kata mereka ada kalanya mengguris jiwa, dosa mereka telah diampun.... Kita mahu mereka meneruskan kehidupan ini dengan ketenangan dan keberkatan seandainya kita dijemput Allah S.W.T.

Percayalah wahai sahabatku..betapa pentingnya apabila kita dapat mendengar dari mulut ibu dan bapa sendiri bahawa mereka telah mengampunkan segala dosa-dosa kita.Betapa bahagianya kita melepaskan pemergian insan tersayang dengan penuh ketenangan kerana kita tahu kita tidak berhutang apa-apa dengan insan yang telah melahirkan dan membesarkan kita selama ini.


Percayalah..

kerana aku telah merasainya...dan kini aku mampu meneruskan kehidupan dengan penuh ketenangan, kekuatan dan ketabahan kerana subuh itu.......sewaktu ku kucup tangan mak, telinga ini mendengar betapa lancarnya emak menuturkan...."Mak ampunkan dosa acik..mak ampunkan dosa anak-anak mak".

Ya Allah...terima kasih kerana di saat Kau menjemput ibuku menjadi tetamuMu, kami semua telah bersedia....kami redha melepaskan emak kerana emak telah menghalalkan susu yang menjadi darah daging kami 4 beradik selama ini... Dan kenangan 20 Jun 2001 itu takkan kupadam dari ingatan ini kerana itulah yang menjadi kekuatanku dalam melayari liku-liku kehidupan sebagai seorang insan...

Al-Fatihah buat emak tersayang. Pergimu tiada pengganti..kasihmu harum subur dihati...

Ya Allah...Kau ampunkanlah segala dosa ibu, tempatkan ibuku ke dalam syurga bersama-sama orang-orang beriman.Peliharalah ibuku sebagaimana ibu menjagaku dari kecil sehingga ke akhir hayatnya..Amin....

9 comments:

laksamana sunan said...

Al fatihah...buat bonda kak ti....
saya sedih sgt2 membaca coretan kak ti...speechless....mengalir laju air mataku....Ya Allah kau ampunkan segala dosa bonda dan ayahanda ku....

kayrolldin said...

Saya baru jer terjumpa blog ni...

Bace2 je, trus sampai ke entry yang betul2 menyentuh perasaan saya....

Saya harap parents saya dipanjangkan umur dan sentiasa di murahkan rezeki...

Terima kasih kerana menyedarkan saya...

kayrolldin said...

saya mintak izin nak link blog ni...

bleh.....????

Hazhari Ismail said...

Salam madam..

Hmm,,sy terus lawat blog ni after bace kat blog en. Munif yg die menangis membaca crite ni..

erm,,betul. sy sgt sedeyh.. ibu bapa sy masih ade.. tp sy masih tak bersedia nak melepaskan mereka pergi seandainya Allah menjemputnye mereka dulu..masih byk lagi yg sy perlukan dr mereka.

tak tau nk ckp pe.. sy harap sy setabah madam..

al-fatihah juga buat umi madam..

arrieza said...

Terima kasih pada yang sudi membaca. Bukan niat untuk melarakan hati sesiapa tetapi sekadar untuk berkongsi rasa dan cerita.
Kepada Laksamana Sunan, terima kasih kerana menjadi pembaca setia yang cepat dan pantas....

Kepada Khairul Anuar, terima kasih kerana sudi membaca dan sudi untuk link blog saya.
Kepada putera_asaqalan, terima kasih atas doa buat arwah ibu saya.Hargai mereka selagi mereka ada. Saya tahu awak seorang anak yang baik....doakan juga semoga saya dapat menjadi seorang ibu yang baik buat anak-anak saya dan pelajar-pelajar saya

darah bunga sahara said...

Saya sungguh terharu dan menitiskan air mata membaca cerita k. atie.
semoga Allah menjadikan kita sebagai anak yang berguna selamanya.

Naddiea said...

kak tie,nadia baru terjumpe blog kak tie ni dr laksamana sunan nyer blog.Ya allah sangat menginsafkan entry kak tie ni.nadia sedih tp tahan airmata takut ada yg nampak nangis sorang2.iskk.sskk..

[basyeera] said...

salam...
madam da buat hati sy bertambah syg kt mak sy..blog madam yg ni mmg slalu sy bace kalo sy ade gado ngn mak...mmg buat kn sy nangis walau pon da byk x bace...rase mcm nk peluk mak sy kuat2 lepas bace blog ni..tp ape kn daya mak kt rumah die..sy pulak kt umh sewa...semoga roh ibu2 yg da tiada berada dlm keadaan tenang dan aman...
takziah buat ibu madam...
[nurul math2]

arrieza said...

Saya berterima kasih di atas semua respond yang diberikan...Bila rindu pada arwah emak, saya akan membacanya berkali-kali dan setiap kali itulah air mata ini akan tumpah..Rindu pada arwah tak mampu digambarkan namun saya bersyukur dan bahagia seandainya cerita saya ini membuatkan anda semua akan sentiasa lebih menyayangi dan mengingati ibu bapa yang masih ada....percayalah...kehilangan itu sesuatu yang amat memedihkan